بسم الله الرحمن الرحيم
cuba sesekali,
kalau aku bertahan lapar waktu makan malam
saat keletihan pulang kelas lewat petang
perut menuntut haknya yang sedari tengah hari tidak diisi
lalu aku renung perihnya si fakir yang makan entah sehari tidak sekali
cuba. aku tahan. hingga esok hari
--
cuba sesekali,
kalau aku berbaik sangka pada mereka yang salah pada mata aku
kesalahan itu memang hadir dari diri yang lemah
cuma dalam kesilapan mereka terhadap aku itu
pasti bukan untuk menunjukkan kelemahan mereka sahaja
tapi untuk menguji kelemahan aku jua
sama ada aku bersabar, atau tidak
mampukah aku memaafkan, atau membenci
tegarkah aku menegur, atau membiarkan
Allah ingin mengajar aku, untuk aku membantu mereka
cuba
--
cuba sesekali,
kalau aku memulakan hari dengan azam baru
untuk kesekian kalinya, aku memasang azam pada hari itu;
-melahirkan tanda syukur pada setiap nikmat yang Allah beri
-agar menjadi yang pertama memberi salam, pada semua
-memberi senyuman, walau pada makcik menyapu daun kering di gigi jalan
-mengungkapkan kata semudah "terima kasih", kepada kakak yang membersihkan mahallah
hanya sekecil itu. mudah kan
cuba
--
cuba sesekali,
kalau aku melakukan sesuatu hal itu bukan kerana manusia
menyiapkan kerja kursus bukan kerana pensyarah atau markah semata-mata
bersedekah bukan untuk dipandang pemurah
menolong bukan kerana ingin digelar baik hati
dan
menulisnya aku, bukan untuk mendapat pujian atau mengira bilangan pageview
Allahu, cuba
--
cuba sesekali,
kalau aku memandang langit dan melihat awan
fikirkan kehebatan Allah
mentadbir seluruh angkasa raya
gah tiada tercela
dan pada langit itu
aku bayang andai Tuhan takdirkan ia untuk menghempap aku
atas keterlekaan, kelemahan, kekurangan, kefuturan, kejahilan
Allahurobbi
cuba
--
dan
cuba sesekali,
kalau kau baca 'aku' itu sebagai kau
cuba letakkan diri kau pada kasut 'aku'
agar kau juga bisa cuba bersama 'aku'
-kerana aku yang menulis ini adalah 'aku'